[ ]
Latest News Updates
Kucing takutkan seorng manusia
September 12, 2011 Posted by IBNYAHYA (DOT) NET - Memburu Cinta Ilahi


MANUSIA takut kepada kucing mungkin kedengaran agak pelik. Tetapi sejarah membuktikan banyak lelaki yang dianggap ganas seperti Napoleon Bonaparte, Julius Caesar dan Hitler menderita akibat fobia terhadap kucing.






*TAKUT melampau terhadap kucing hakikatnya satu derita yang ditanggung oleh golongan ailurofobia.
*KEKEJAMAN terhadap haiwan seperti kucing tidak seharusnya berlaku kini.












Perasaan yang sama turut dialami oleh seorang lelaki di Kuala Lumpur yang hanya ingin dikenali sebagai Anan, 28.
Anan pernah membenci haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w itu. Dia juga tidak menaruh rasa simpati tatkala berdepan dengan seekor kucing yang memerlukan bantuannya.
Baginya, kucing adalah binatang yang jahat dan menakutkan. Semua itu disebabkan peristiwa semasa kecil yang membuatkan dia trauma. Bagi mereka, haiwan kesayangan itu boleh bertukar menjadi mimpi ngeri.
“Sejak kecil lagi saya tidak menyukai kucing kerana ada insiden yang menakutkan saya,” tuturnya kepada Jurnal.
Menurut Anan, tiada kucing yang dibela di rumahnya. Dia hanya mengenali haiwan itu buat pertama kali sewaktu pulang ke rumah neneknya di kampung.
Pada mulanya Anan tidak gentar bermain-main dengan kucing neneknya sehinggalah pada hari dia berkongsi makanan ringan dengan haiwan itu.
“Saya memberinya makan makanan ringan itu tetapi ia seolah-olah tidak puas walaupun makanan itu sudah habis. Ia sebaliknya terus mengekori saya.
“Saya yang pada masa itu berumur kira-kira empat tahun mula berasa takut. Saiz kucing itu besar iaitu sehingga ke paras pinggang saya. Saya cuma terbayangkan kucing itu boleh menjadi ganas dengan menerkam dan membaham tubuh saya yang kecil,” kata Anan ketawa.
Fobia
Selepas peristiwa itu, Anan menjadi takut dengan kucing. Apabila ternampak sahaja haiwan itu, dia pasti cuba menjauhkan diri.
Dia merasakan haiwan itu ingin menyerangnya dengan gigi dan kukunya yang tajam. Melihat anak kucing bermain-main pada kaki orang dewasa pula boleh menyebabkan tubuh Anan menggigil kerana geli dan ketakutan.
Biarpun dia telah berusaha sedaya upaya untuk tidak terserempak dengan haiwan itu, ketenangan Anan sering juga diganggu ketika dia makan di warung.
“Sebenarnya saya tidak selesa makan di warung kerana di situ selalu ada kucing berkeliaran mencari makanan.
“Mereka sering merayu-rayu minta makanan hingga membuatkan saya naik geram. Saya rasa puas jika tidak memberinya makan.
“Saya juga akan marah melihat orang yang bukan saja memberinya makan bahkan menggosok-gosok tubuh kucing yang kotor itu seperti bermain dengan anak patung,” ujar Anan lagi yang menyifatkan dirinya sebagai ailurofobia iaitu fobia kepada kucing.
Bagaimanapun, beberapa kejadian telah menyebabkan dia berasa kesal sehingga ke hari ini.
Menurut Anan, dia pernah berlaku kejam terhadap haiwan itu. Dia menceritakan bagaimana dia hanya menyaksikan sahaja seekor anak kucing yang lemah kesejukan sewaktu hujan lebat.
“Ketika itu saya hendak pulang ke bilik hostel. Tiba-tiba saya ternampak seekor anak kucing berwarna kelabu yang kesejukan dalam hujan.
“Saya tidak berusaha langsung untuk menyelamatkannya bahkan membiarkannya terseksa begitu,” katanya. Ada nada penyesalan di sebalik getar suaranya.
Namun, persepsi Anan terhadap kucing berubah tatkala dia menikmati hidangan makan malam bersendirian di sebuah gerai di pinggir ibu kota.
Seperti biasa, gerai makanan yang dikunjungi Anan sentiasa dipenuhi kucing liar yang kurus dan kotor.
Ketika menikmati hidangan itu, seekor kucing jalanan telah melompat ke atas kerusi di sebelah tempat duduk Anan sambil mengiau dengan suara yang lembut meminta makanan.
“Pada mulanya saya tidak mengendahkan kucing itu sehinggalah mata saya memandang tepat pada raut wajahnya.
“Ketika bertentang mata dengan kucing hitam itu saya seperti dapat merasakan apa yang sedang ditanggung olehnya.
“Matanya yang bulat itu menyampaikan bahawa ia benar-benar memerlukan makanan dan itu yang membuatkan saya begitu kasihan.
“Saya tidak faham mengapa hati saya tersentuh. Mungkin Tuhan hendak memberi hidayah agar saya menyayangi sesama makhluk,” ujarnya.
Kata Anan, malam itu adalah kali pertama dia memberi makan kepada seekor kucing.
Malah, dia sempat menggelarkan kucing itu sebagai Itam kerana bulu kucing itu berwarna hitam.

Anak Kucing
Sewaktu dalam perjalanan pulang, fikirannya tidak keruan. Anan mula sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci haiwan itu walaupun dia begitu fobia terhadapnya sebelum ini.
Semenjak hari itu, Anan akan berasa kasihan jika ternampak kucing jalanan.
Baru-baru ini, dia terserempak dengan sebuah kotak yang berisi empat ekor anak kucing yang dibuang orang.
“Saya bawa kucing itu balik ke rumah. Walaupun masih geli dan takut untuk menyentuhnya, saya percaya haiwan itu tidak akan menyerang saya.
“Saya bawa balik dan memberinya makan nasi berlaukkan ikan. Dengan bantuan adik saya, anak-anak kucing itu dibiarkan bermain-main di halaman rumah,” ujar Anan.
Namun, hayat kucing itu tidak panjang. Semua kucing itu didapati mati pada hari raya keempat yang baru lalu iaitu kira-kira seminggu selepas dia mengutip haiwan itu.
Jelas Anan, dia tidak mengetahui punca kucing tersebut mati serentak. Dia cuma mengandaikan ia mungkin disebabkan oleh keracunan kerana dibiarkan bermain di laman.
“Saya sempat merakamkan gambar kucing-kucing tersebut pada Aidilfitri lalu ketika mereka bermain-main di halaman rumah,” tuturnya.
Anan kini sedar bahawa dia tidak seharusnya membenci sesama makhluk. Biarpun takut dengan haiwan itu, dia tidak seharusnya berlaku zalim terhadapnya sebaliknya harus saling menyayangi.

Sumber : KOSMO

IBNYAHYA (DOT) NET - Memburu Cinta Ilahi

Thanks for your visit..!

0 ulasan for "Kucing takutkan seorng manusia"

Catat Ulasan